•12:53 AM
Laku musnah ( Vandalisme)
Laku musnah atau Vandalisme merujuk kepada tabiat seseorang membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Perkataan vandalisme berasal daripada nama sebuah puak di Eropah, Vandal, yang telah membinasakan kota Rome pada tahun 445. Pada lazimnya, laku musnah ditanggap sebagai satu bentuk jenayah, tetapi pada keadaan tertentu, vandalisme merupakan satu bentuk ritual yang dilakukan oleh golongan manusia yang tidak puas hati terhadap kondisi mayarakat.
Semasa suatu masyarakat sedang mengalami revolusi, ataupun sedang mengalami transisi kuasa secara keras, golongan yang mencabar autoriti lama mungkin akan membinasakan sebarang harta benda yang dianggap sebagai simbol rejim lama, seperti tugu. Perbuatan mereka itu adalah untuk menyampaikan suatu mesej "mencabar". Dalam keadaan pengalihan kuasa telah berjaya, pemusnahan harta benda yang dianggap simbol rejim lama akan dilakukan untuk menandai tamatnya rejim lama.
Vandalisme yang paling besar dalam sejarah dekat adalah vandalisme yang dilaksanakan dalam kempen "memecahkan adat lama" (bahasa Cina: 破四旧) semasa revoulsi kebudayaan(1966-1976) di negeri Cina. Dalam kempen ini, para pengganas telah memusnahkan bangunan bersejarah, harta benda artifak dengan alasan benda-benda ini menandai feudalisme lama[1] . Di negara Malaysia, vandalisme secara ritual juga pernah dilakukan oleh parti komunis malaya. Dalam hal ini pihak komunis telah membinasakan tugu negara.
Jenayah laku musnah biasanya merujuk kepada perbuatan merosakan harta benda awam seperti papan tanda, kerusi awam, perhentian bus, telefon awam dan juga tandas awam. Kelakuan ini biasanya diasiosiasikan remaja yang terlibat dalam budaya lepak.
Motif untuk vandalisime adalah terletak pada aspek emosi. Vandalisme biasanya dianggap sebagai suatu cara untuk melepaskan rasa geram, ataupun satu cara untuk menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun motif mereka adalah begitu ringan, tetapi masyarakat awam terpaksa menanggung kerugian yang besar untuk memenuhi nafsu mereka yang hina.
Vandalisme di wikipedia adalah satu bentuk jenayah di sisi moral. Sebarang tindakan mencoteng, mengubah, ataupun memadamkan isi kandungan dalam wikipedia, dengan niat membinasakan wikipedia dianggap sebagai vandalisme. Tindakan terkutuk ini adalah hinaan terhadap sahsiah diri pelakunya.
Biarpun negara kita kian maju tetapi kesedaran sivik di kalangan masyarakat kita masih lagi rendah sehinggakan ada yang sanggup melakukan aktiviti vandalisme secara berleluasa. Contohnya kemudahan-kemudahan awam seperti telefon, meter letak kereta, taman rekreasi, tandas awam serta tempat perteduhan bas telah dirosakkan dengan teruk. Seharusnya kemudahan-kemudahan awam seperti ini perlu dijaga dan digunakan sebaik mungkin kerana ia adalah hak awam dan menjadi kegunaan orang ramai. Jumlah kerugian akibat perbuatan vandalisme ini amatlah besar. Peruntukan kewangan yang digunakan untuk mengganti baru dan membaik pulih kemudahan-kemudahan yang dirosakkan itu sekiranya digunakan untuk melaksanakan projek lain yang lebih berfaedah sudah tentu dapat memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya. Senario vandalisme seperti ini jelas menunjukkan bahawa penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk menangani masalah ini.
Masalah vandalisme ini boleh dikategorikan sebagai masalah sosial yang berkait rapat dengan faktor pendidikan, kesedaran, kematangan, kekeluargaan dan juga persekitaran. Justeru itu saya merasakan kita perlu mencari satu formula baru dan membuat kajian yang komprehensif agar kita dapat mengesan punca masalah ini dari akar umbinya. Pendekatan yang lebih berkesan memerlukan gandingan penguatkuasaan dan proses pendidikan yang berterusan dari peringkat awal. Masyarakat perlu menyedari dan harus dididik untuk memahami bahawa menjaga kemudahan awam adalah tanggungjawab bersama. Kita harus menyayangi harta benda awam seperti kita menyayangi harta kita sendiri. Sekiranya kegiatan vandalisme ini tidak ditangani secara bersungguh-sungguh, akan sampai satu peringkat di mana masyarakat akan menerima persepsi bahawa apa yang berlaku itu merupakan perkara biasa. Sekiranya senario ini berterusan, kemajuan yang kita cita-citakan tidak akan tercapai dan tidak akan memberi pengertian yang bermakna dari segi tahap tamadun masyarakat itu sendiri.
Seperti mana yang kita sedia maklum, negara kita sudahpun dikenali sehingga ke seluruh pelusuk dunia. Kebanjiran warga asing untuk tujuan melancong ke negara ini semakin hari semakin bertambah. Baru-baru ini kita telah menjadi tuan rumah kepada beberapa persidangan antarabangsa seperti Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) yang bersidang pada 16 dan 17 Oktober. Keindahan, kestabilan politik dan juga pucuk pimpinan yang dinamik di Malaysia mampu menjadi daya tarikan dunia luar untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah atau penganjur kepada mana-mana persidangan bertaraf dunia. Namun pun begitu, di sebalik gambaran menarik ini, masih terdapat banyak fenomena vandalisme yang boleh menjejaskan mata memandang dan ini sudah tentu menjejaskan imej negara.
Pelbagai cara dari peringkat murid-murid sekolah rendah sehinggalah kepada golongan dewasa boleh dibuat semata-mata untuk mewujudkan rasa sayang dan menghormati harta awam. Dalam usaha menangani gejala vandalisme ini kementerian atau badan-badan berkanun boleh menganjurkan pertandingan “kawasan lapang angkat terbaik”. Konsep pertandingan ini mampu memberi satu impak yang cukup bermakna kepada seluruh warga kerana setiap persatuan dan juga Rukun Tetangga telah diberi satu kawasan untuk dijaga dan diselenggara. Usaha ini perlu dijadikan contoh kepada masyarakat lain untuk lebih menggalakkan masyarakat agar responsif dalam menjaga harta awam.
Sekali lagi saya menyeru agar kempen anti vandalisme dan budaya menyelenggara ini dilakukan secara berterusan dan saya berharap agar pihak-pihak tertentu diberi tanggungjawab dan juga diwujudkan pelan-pelan tindakan jangka panjang untuk membasmi masalah ini secara berterusan. Saya sedar usaha ini sukar dilaksanakan tetapi dengan kerjasama dan kesepaduan idea dari pelbagai pihak, ia bukanlah satu perkara yang mustahil malah ia akan mampu memberi kesedaran kepada masyarakat akhirnya. Saya penuh yakin kempen ini akan menjadikan Negara ke arah bandar yang positif dan proaktif dalam menjaga maruah dan imej negara. Apa yang lebih penting kita mahu melahirkan satu kesedaran yang akan menggerakkan masyarakat yang membudayakan rasa tangggunjawab dan sayangkan harta awam untuk masyarakat kini dan generasi akan datang.